Tuesday 8 November 2011

MIKROPENGAJARAN

Sesi pembelajaran pada hari ini dimulakan dengan mengimbas kembali pelajaran semalam. Dr. Nurulhuda meminta kami semua untuk membina satu peta konsep seperti apa yang telah dipelajari semalam. Dua orang pelajar dipilih untuk membentangkan peta konsep mereka di hadapan kelas.
Selepas itu, sesi pembelajaran diteruskan dengan memasuki fasa kedua dalam mikropengajaran iaitu Kemahiran Menyoal.

Antara tujuan menyoal ialah :
• Memulakan inkuiri
• Melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran
• Menarik perhatian pelajar dan menimbulkan sifat ingin tahu
• Menumpukan perhatian pelajar kepada sesuatu idea atau konsep
• Menggalakkan pelajar bertanya soalan
• Membina kemahiran berfikir
• Meminta penjelasan idea pelajar
• Mengenal pasti dan menangani miskonsepsi
• Mentaksir kefahaman pelajar 

Guru perlu menguasai kemahiran menyoal dengan sebaik mungkin kerana kemahiran menyoal ini sangat penting bagi seorang guru. Jika guru tidak pandai menyoal adalah sukar untuk pelajar tersebut mempercayai kebolehan guru tersebut.

Rumusan kemahiran menyoal

Terdapat 5 langkah dalam kemahiran menyoal iaitu :

1. Ajukan soalan kepada seluruh kelas
Guru mengajukan soalan kepada seluruh kelas dengan gaya menyoal yang menarik iaitu mempunyai gaya tubuh yang sesuai serta lontaran suara yang jelas didengar oleh seluruh kelas. Guru perlu mengajukan soalan seringkas yang mungkin mengikut tahap kefahaman dan kebolehan pelajar. Yang paling utama, guru perlu mengelakkan soalan yang berbentuk retorik.

2. Memberi masa berfikir yang sesuai (wait-time)
Guru perlu memberi masa kepada pelajar untuk berfikir bagi menjawab soalan yang diajukan. Masa berfikir ini bergantung kepada tahap kepayahan soalan yang diajukan oleh guru. Wait-time boleh dibahagikan kepada 2 iaitu selepas tanya soalan dan masa untuk pelajar lain memahami jawapan daripada pelajar yang disoal sebelum guru memberikan reaksi. Guru perlu terus menyoal bagi membantu mengembangkan kemahiran berfikir pelajar.

3. Memilih pelajar untuk menjawab
Guru perlu memilih pelajar yang secara sukarela menjawab soalan yang diajukan ataupun memilih pelajar secara rawak. Panggil nama pelajar walaupun ramai yang menjawab dalam satu masa setelah soalan diajukan oleh guru. Guru juga boleh membuat peraturan untuk menjawab soalan seperti angkat tangan jika ingin menjawab soalan yang diajukan.

4. Memberi respon atau reaksi kepada jaawapan pelajar
Guru perlu memastikan semua pelajar memberi perhatian kepada jawapan rakan mereka. Guru perlu memberi respon atau reaksi tanpa mengadili jawapan pelajar tersebut. Cuba bantu pelajar dan kenalpasti ketepatan jawapan pelajar. Jika pelajar tidak dapat menjawab soalan yang diajukan, guru perlulah memberi galakan (prompting) dan tanya lebih lanjut (probing) untuk mendapatkan penjelasan yang lebih jelas dari jawapan pelajar. Guru juga boleh mengajukan soalan yang sama kepada pelajar lain atau mengajukan soalan yang ditanya oleh pelajar kepada pelajar lain. Akhir sekali, guru perlu mengaitkan semua jawapan dan idea pelajar untuk membantu pelajar membuat kesimpulan.

5. Memberi penekanan atau membuat ringkasan jawapan tepat / yang boleh diterima
Guru menyatakan semula tujuan atau soalan utama selepas selesai sesi soal jawab. Guru menerangkan jawapan yang tepat bagi soalan yang diajukan. Guru boleh mengaitkan dengan jawapan pelajar yang hampir tepat.

AKTIVITI HARI INI
Merancang satu aktiviti pengajaran untuk kemahiran menyoal dalam kemahiran mikropengajaran

No comments:

Post a Comment